Cinta Selepas Nikah
Mungkin ada yang merasakan bercinta selepas nikah sesuatu yang tidak praktikal pada zaman ini. Malah sesetengahnya beranggapan mustahil pasangan mampu mengecap kebahagiaan selepas berkahwin tanpa mengenali dan bercinta dengan pasangan terlebih dahulu. Namun realitinya, bercinta tidak sesekali akan membuatkan kita mengenal bakal pasangan dalam erti kata yang sebenar. Bagi individu yang memilih yang memilih untuk bercinta selepas nikah, mereka perlu membuat pelbagai persediaan awal merangkumi mental, fizikal, ekonomi serta emosi.
Persediaan Mental
Paling penting ikhlas menerima pasangan sebagai teman hidup. Pasangan tidak perlu bimbang belum mengenali individu yang ingin dikahwini kerana mereka yang ingin bercinta sebelum berkahwin sekalipun tidak berjaya mengenal bakal pasangan sepenuhnya. Malah lebih malang ada pula penipuan yang dilakukan sebelum kahwin terserlah selepas kahwin. Justeru, imbangi kekurangan pasangan dengan kelebihan dimiliki. Pasang niat untuk menerima pasangan sebagai teman hidup dan bersama-sama menikmati pahit manis berumah tangga.
Persediaan Emosi
Bagi calon suami dan isteri, emosi diri perlu mantap iaitu bersedia untuk menerima perkara yang tak dijangka. Apabila memilih untuk menjalani hubungan cinta selepas berkahwin harus diingatkan diri bahawa kita bakal hidup bersama individu yang belum pernah dikenali hati budi dan sikapnya. Sikap seseorang pula berbeza bergantung kepada pendidikan serta persekitaran individu berkenaan dibesarkan. Banyakkan bersabar dalam menghadapi kerenah yang tidak dijangka. Apabila perkahwinan wujud, menjadi kewajipan setiap individu menerima pasangan seadanya. Berusaha menerima dirinya, kerjaya malah keluarganya seperti sedia ada selagi semua itu tidak bercanggah dengan syarak. Jika sikapnya menyalahi syariat, berusaha sedaya-upaya untuk bersama-sama berubah ke arah yang lebih baik.
Persediaan Kewangan
Khusus untuk calon suami, pastikan diri bersedia untuk memikul beban tanggungjawab sebagai suami iaitu paling utama menyediakan segala keperluan si isteri.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka” Surah An-Nisa ayat 34.
Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab membiayai keperluan rumahtangga ke bahu suami walaupun wanita yang bakal dikahwini bekerja atau mempunyai pendapatan sendiri.
Jangan sesekali mengharapkan isteri membantu manakala isteri pula mengharapkan seorang suami sejati yang mampu melaksanakan tanggungjawab wajib dalam rumahtangga. Jika gagal melaksanakan tanggungjawab ini, bagaimana kasih sayang yang baru berputik akan mekar bersemarak?
No comments:
Post a Comment